aku (edisi kembali)

2 02 2010

semangat baru, cara baru.
ayuh, lakukan pecutan terakhir!
masih belum terlambat untuk melakukan perubahan dan peningkatan ;)

al-faqirah ila Allah,
ibnatubukhari





api cinta setia

28 01 2010

Aku mohon dengan sangat, pertemukanlah aku dengan lelaki itu.

Lelaki itu, telah mencuri hati kecilku.
Lelaki itu, telah menakluki jiwa kesepianku.
Lelaki itu, sudah bisa merobek jantung gelodak rinduku.
Lelaki itu, tidak pernah terpadam dalam ingatan kasihku.

Pintu hatiku telah diketuk tanpa dipinta.
Seluruh hatiku telah ditawan oleh dia.

Dia seorang lelaki. Dia seorang pria.

Lelaki itu sangat hebat. Dia punya karisma. Dia punya dedikasi. Dia punya wibawa. Dia juga punya keyakinan. Orangnya sangat ramah. Murah dengan senyuman. Aku menjadi tenang setiap kali mendengar kata-katanya. Aku menjadi kagum dengan sikapnya yang santun. Langsung tidak pernah memandang rendah terhadap aku dan wanita yang lain.

Dia sangat berani bersyarah di hadapan ramai orang. Petah berkata tanpa ragu, tanpa jemu. Ilmu agamanya sangat tinggi. Setiap yang benar, pasti akan dibelanya. Setiap yang batil, sudah tentu akan ditolaknya. Dia tetap sabar walaupun ramai manusia bergosip liar tentang dirinya. Setiap kali mendengar berita yang tidak baik tentangnya, aku menjadi marah. Ah, siapa kamu untuk menghinanya? Tidak! Dia tidak sehina itu. Dia sangat mulia di mataku.

Bagiku, dia sangat istimewa. Perkataan, perilaku, sifat dan diamnya telah membisikkan kata-kata yang bisa menjelmakan cinta. Dia sangat luar biasa. Tidak seperti lelaki lain. Hatiku berbunga-bunga setiap kali orang-orang di sekelilingku menyebut namanya. Subhanallah.. Maha suci Allah yang menciptakan lelaki itu untuk aku!

Dia sangat tulus dalam bercinta. Dia sangat setia dalam berkasih. Sungguh, kasihnya adalah kasih yang tiada tara! insyaAllah, cinta dan kasih itu akan bertakhta buat selamanya.

Aku sangat mengenali dia. Aku mengagumi peribadinya. Kami hidup di bumi yang sama, tapi di dalam daerah yang berbeza. Aku memilih jalan hidup sepertimana dia. Dia sering menitipkan kerinduan buatku. Tatkala aku luntur, dia meniupkan kata-kata semangat. Tatkala aku futur, dia memberi kata-kata nasihat. dia berjaya mengukir keimanan di jiwaku. Imannya, subhanallah..

Aku tidak pernah kecewa dengan kekurangan yang ada pada dirinya, kerana dia adalah manusia biasa. Cuma, kadang-kadang aku jadi cemburu. Cemburu kerana ada insan lain yang telah meraih cintanya terlebih dahulu daripadaku. Ahhh! Aku tidak kisah semua itu.

Ya Allah,
Ku serahkan kepadaMu
Seluruh jiwa dan ragaku
Dalam sebuah harapan bernama doa.

Aku mohon ya Allah..
Agar api cinta ini kan terus menyala
Jadikanlah aku insan yang setia dalam mencintai dia.

Kerana,
Dia itu adalah
KekasihMu..
Sinaran cahaya cintanya bukan untukku seorang,
Tapi untuk sekalian manusia..
Bahkan untuk sekalian alam.

Ya Rasulullah..
Moga kita kan bertemu suatu hari nanti dalam keredhaan Tuhan kita.

al-faqirah ila Allah,
ibnatubukhari

p/s: apakah kan ku temui insan semulia pekerti Muhammad saw di dunia ini?





\(^,^)/ peace!

27 01 2010

senarai untuk peringatan diri sendiri sahaja. tiada kaitan dengan sesiapa. [peace!]

Monolog seorang anak manusia:
“Nisa’, semuanya dah siap ke?”
“Err.. suku je yang dah siap.”
“Kenapa tak siap lagi? Sibuk?”
“Entah..”
[jawab dengan rasa bersalah. inilah jawapan yang keluar bila iman tak sihat :( ]

Akhawati fillah,
dalam sedar atau tidak, kita selalu beralasan sibuk atau berpu-pura SIBUK.

Bila nak exam, sibuk buat revision, sibuk buat latihan.
Bila orang nak datang, sibuk masak kat dapur, sibuk kemas rumah.
Bila nak sertai pertandingan, sibuk berlatih setiap pagi sampai petang.
Bila ada skrip baru, sibuk buat shooting filem.
Bila tiba bulan ramadhan, sibuk buat kuih untuk dijual.
Bila ada masa lapang, sibuk main game+merempit malam-malam.

Tapi, pernah tak kita sibuk untuk Allah?
sibuk nak mati dalam iman.
sibuk nak hadapi kiamat dengan tenang.
sibuk berzikir menyebut nama Allah.
sibuk berhalaqoh dan berda’wah.

Realiti manusia diluar sana:
Bila azan berkumandang,
“Nanti dulu lah, nak siapkan kerja ni sikit. Sikit lagi je pun. Dah siap nanti, aku solatlah.”

Hishh! Langsung tiada rasa bersalah. Dengan Allah pun masih boleh berlengah! Astaghfirullah..

Macam mana kalau malaikat Izrail datang bertemu kita ketika itu untuk mengambil nyawa?
takkan kita nak kata, “Ya Allah, janganlah ambil nyawaku sekarang. Ambillah bila aku dah siapkan semua kerja ni!”

“Sesungguhnya Tuhanmu mengetahui bahawaya kamu berdiri (solat) kurang dari dua pertiga malam, atau seperdua malam atau sepertiganya dan (demikian pula) segolongan dari orang-orang yang bersama kamu. Dan Allah menetapkan ukuran malam dan siang. Allah mengetahui bahwa kamu sekali-kali tidak dapat menentukan batas-batas waktu-waktu itu, maka Dia memberi keringanan kepadamu, kerana itu bacalah apa yang mudah (bagimu) dari Al-Qur’an. Dia mengetahui bahawa akan ada di antara kamu orang-orang yang sakit dan orang-orang yang berjalan di muka bumi mencari sebagian kurnia Allah; dan orang-orang yang lain lagi yang berperang di jalan Allah, maka bacalah apa yang mudah (bagimu) dari Al-Qur’an dan dirikanlah solat, tunaikanlah zakat dan berikanlah pinjaman kepada Allah pinjaman yang baik. Dan kebaikan apa saja yang kamu perbuat untuk dirimu niscaya kamu memperoleh (balasan) nya di sisi Allah sebagai balasan yang paling baik dan yang paling besar pahalanya. Dan mohonlah ampunan kepada Allah; sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Al-Muzzammil: 20)

al-faqirah ila Allah,
ibnatubukhari

p/s: mula merasai kesibukan-kesibukan yang merengut! Rabbi yassir wa la tu’assir..





gear ‘reverse’

26 01 2010

Dialog antara seorang kakak [saya sebagai fasilitator], adik-adik [junior sekolah lama] dan pak cik jurulatih bamboo rafting ketika aktiviti lumba rakit dalam sebuah program dua hari satu malam di Ulu Yam bulan lepas.

“Alamak! Kak Nisa’, rakit kita nak berlanggar dengan rakit kat depan tu. Macam mana nak parking ni?” Seorang adik bertanya cemas. Takut berlanggar dan terbalik, lalu jatuh ke dalam air. Tambahan pula, hujan turun lebat.

Okay, semua bertenang. Kita kena reverse. Cari site yang sesuai untuk park.” Saya memberi arahan.

“Fuyoooo! Rakit diorang ada gear reverse la.. Dahsyatnya!” Kata seorang pak cik yang mengawas aktiviti kami petang itu dengan nada perli.

“Aitt.. pak cik ni dengar ke apa yang aku cakap?” Saya berbicara sendiri.

“Pak cik! Pak cik ingat kereta je ke yang ada gear reverse? Rakit kami pun ada jugak tau.” Seorang adik membela kata-kata saya. Terima kasih, dik :)

Rakit boleh reverse. Kereta boleh reverse. Motorsikal boleh reverse. Kapal terbang boleh reverse. Semua benda boleh reverse.

Semua benda boleh reverse? Musykil.
Ya. Semua benda boleh reverse, kecuali satu.

Apa dia?
Hidup.

Hidup ini tak akan kembali kepada yang sebelumnya. Kita tak boleh putar balik masa. Kita tak boleh kembali ke hari semalam, kelmarin dan seterusnya. Kita tak boleh mengubah catatan sejarah hidup kita yang dulu. Tak boleh! Tapi, kita boleh belajar daripada apa yang berlaku dahulu. kita hanya mampu mengulang apa yang telah kita lakukan semalam. Kita hanya mampu melihat kembali apa yang telah berlaku pada hari semalam.

Dahulu.. kita pernah menjadi seorang bayi yang hanya tersenyum dan ketawa apabila melihat gelagat orang lain, menangis apabila lapar dan dahaga.

Dahulu.. kita pernah menjadi seorang kanak-kanak comel yang sentiasa riang, hidup bebas kerana langsung tidak perlu memikirkan masalah, cemburu melihat aktiviti orang dewasa.

Kemudian, kita meneruskan kehidupan sebagai seorang remaja yang punya keinginan yang tinggi. Bebas melakukan apa sahaja selagi mampu. Mencuba segala perkara tanpa jemu. Merasa diri hebat dan benar. Kata orang tidak dipeduli.

Masa terus berlalu. Kita menjadi dewasa. Begitulah kehidupan. Terus ke depan tanpa berpatah balik ke belakang. Usia kita pula semakin bertambah, bukannya berkurang dan bertambah pula. Kulit kita semakin berkedut. Kedutannya pula semakin rapat. Ketika itu, kita hanya mampu melihat ragam orang yang lebih muda daripada kita. Namun, untuk menjadi seperti mereka, kita tidak boleh. Ketika itu juga, kita merasa kesal atas perbuatan lalu.

“Kenapa lah dulu aku tak belajar elok-elok..”
“Kenapa lah dulu aku tak sayang mak ayah..”
“Kenapa lah dulu aku terlalu memilih kerja..”

Banyak lagi “kenapa lah…” terdetik di hati, disebut di mulut. Jika dahulu kita pernah melakukan kesilapan, kita tidak boleh memperbaikinya kerana hidup ini tidak ada gear reverse. Kita hanya mampu menyebut lupakan sahaja peristiwa itu. Jangan diulang lagi kesilapan lalu.

Mengulang dosa adalah sesuatu yang tidak mustahil kerana kita boleh mengelak dosa.
Tapi, bagaimanakah kita mampu membuang dosa yang lalu, sedangkan hidup ini tidak pernah dan tidak akan berpatah balik?

Taubat nasuha. Inilah jawapannya. Taubat dengan sebenar-benarnya. Taubat dengan penuh rasa kesal dan bersalah. Memohon keampunan daripada Allah. Berazam untuk menjauhi dan meninggalkan dosa. Berterus-terang di hadapan manusia, dan memohon maaf daripada mereka.

Maha suci Allah yang menunjukkan sifat adil. Adil kepada hamba-hambaNya. Dia tidak mengizinkan kita kembali ke zaman muda untuk memperbaiki kesilapan. Tapi, Dia memberi kita peluang untuk membersihkan kesilapan. Allahu Akbar!

al-faqirah ila Allah,
Ibnatubukhari

p/s: pak cik, rakit boleh reverse. tapi, pakcik tak boleh reverse jadi muda. Kawan-kawan, jom jadi baik!





‘renew’ iman

25 01 2010

kadang-kadang..
kita tidak sedar bahawa kita melukakan hati-hati insan, jua tersilap kata dalam gurauan.

tiba-tiba..
ikatan itu berlalu, murkaNya bertamu.

mohon maaf sepanjang perkenalan, moga ianya kan terus hidup di bumi Tuhan.

“Ya Allah, ampunkan dosa hambaMu yang sangat kerdil ini. Mak, abah, adik-adik, cikgu-cikgu, kawan-kawan.. nisa’ mohon maaf atas segala khilaf bicara dan rasa. Moga Allah sentiasa mencurahkan rahmat dan kasih-sayangNya ke atas kita semua.”

al-faqirah ila Allah,
ibnatubukhari

p/s: entri yang sangat pendek. muhasabah sambil menaip. tiba-tiba rasa terpanggil untuk berkongsi rasa. jom renew & update iman!





ni’mat besar

24 01 2010

Assalamualaikum wrt.

Untuk perhatian:
Warga penuntut Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

CUTI. Ni’mat yang besar untuk insan-insan bergelar pelajar.
Khususnya bagi pelajar-pelajar UIAM.
Kenapa cuti semester kali ini merupakan ni’mat yang besar?
Sebabnya, sebelum ini.. cuti pertengahan semester cuma dua hari sahaja :(

Orang kata, “Yes! Cuti! Tak payah study!”
Ada orang lain pulak kata, “Mana boleh..kuliah je cuti. Kita kena lah study sendiri.”

Terpulang.. sahabat-sahabat nak study atau tidak [sebenarnya nak tuju kat diri sendiri ;) ]
Yang penting, jangan buat dosa, rebut tambah pahala ya :)
InsyaAllah.. ada rezeki, kita jumpa lagi lepas cuti.
Moga bertemu kembali dalam keadaan iman dan amal soleh yang lebih baik daripada hari ini.

al-faqirah ila Allah,
ibnatubukhari





hari ini dalam sejarah

22 01 2010

For those who gathered at main staircase of IIUM at 8.00am [before, during & after] on 22 January 2010.

Assalamualaikum.

Moga sihat jasad dan ruh :)

Hari ini, saya belajar sesuatu yang baru. Saya buat kesimpulan baru berdasarkan pengamatan baru daripada kejadian yang baru.

Pendek kata, semuanya baru.

Apa yang baru?
Pertama kali dalam hidup saya, hari ini ialah hari pertama saya dikejutkan dengan suatu berita yang mungkin ada sesetengah pihak yang sukar untuk berhadapan dengan hakikatnya.

Nak tahu apa beritanya?
Program besar yang dirancang terpaksa dibatalkan pada saat-saat akhir, iaitu beberapa minit sebelum program bermula.

“Fuhh!”
“Perghhh”!
“Hahh?!”
“Ya Allah!”
“Astaghfirullah!”

Inilah sebahagian reaksi yang tertonjol sebaik sahaja menerima berita kejutan itu. Macam-macam perkataan yang keluar dari mulut orang-orang yang ada di situ.

“Harap semua bertenang.”
“Sabar, sabar.”
“Rileks ye. Bawa bertenang.”
“Duduk, duduk. Rasulullah duduk bila dia marah.”

Lalu, macam-macam ayat penenang disebut.
Ada yang sangat tenang, ada yang biasa-biasa, ada yang hilang sedikit pertimbangan.

Tenang..
Apa yang membuatkan insan itu tenang?
Bagaimana dia boleh menghadapi perkara ini dengan sangat tenang?
Ohh.. barangkali kerana amal soleh dan niatnya.

Biasa-biasa..
Yang ini, lain pula gayanya.
Riaknya seperti tidak ada apa-apa yang berlaku.
Santai saja. Geram tiada. Sedih pun tiada.
Ohh.. mungkin kerana memang begini sikapnya.
Bersahaja dan biasa-biasa dalam segala perkara.

Hilang sedikit pertimbangan..
Jadi seperti tidak keruan.
Kenapa agaknya?
Ye lah kan.. mana tak nya.
Setiap hari bertungkus-lumus siapkan kerja-kerja untuk program,
tiba-tiba.. tak jadi pulak!
Adowaii.. siapa yang tak geram.

Perkara baru yang telah berlaku awal pagi tadi mengajar saya tentang manusia dan khaliqnya.
Alhamdulillah.. kesyukuran dipanjatkan.
Saya dapat melihat macam-macam reaksi manusia apabila ditimpa sesuatu yang tidak disangka.
Saya semakin kenal mereka.
Siapa yang tenang, siapa yang malang.

Sekilas saya melihat reaksi seorang sahabat, saya patah balik ke belakang..
mengimbas aktiviti, amalan, peribadi dan pemikirannya selama sebelum hari ini.
Oh, mungkin kerana hubungannya dengan Allah baik-baik selalu. Sangat berdisiplin dalam soal syariat Allah.

Sekilas saya melihat reaksi seorang sahabat yang lain pula, saya patah balik ke belakang..
mengimbas aktiviti, amalan, peribadi dan pemikirannya selama sebelum hari ini.
Oh, mungkin kerana ada masalah di mana-mana bahagian amalannya. Ya, memang. Saya lihat itu. Wa  Allahu a’lam.

Sahabat-sahabat,
Bukan soal tenang, biasa-biasa atau geram yang saya ingin bawakan.
Tapi, saya sangat berlapang dada untuk kita sama-sama bermuhasabah.
Sebelum kita semua melihat orang lain, mari kita melihat diri sendiri.
Lilhatlah diri masing-masing..

Yang pertama,
Bagaimana hubungan kita dengan Sang Pencipta ujian?
Bagaimana dengan solat-solat kita? Bagaimana pula dengan subuh kita?
Di awal waktu kah? Atau di tengah-tengah waktu? Atau di akhir waktu ?

Yang kedua,
Benarkah kita memang ikhlas dalam berkorban ?
Atau sekadar asal-asalan? Atau berkorban kerana manusia?

Sahabat-sahabat yang dikasihi Allah,
Allah sedang menguji kita.
Saat itu, Allah menguji keikhlasan kita. Allah menguji pengorbanan kita.
Benarkah kita ikhlas dalam berkorban, sedangkan kita seperti hilang pertimbangan apabila diduga?
Atau kita berasa aman kerana langsung tiada peluh yang dititikkan, tiada wang yang disumbangkan, tiada masa yang dikorbankan?

Allah itu Maha Bijak.
Dia menilai kita melalui ujiannya.

Allah itu Maha Berkuasa.
Dia menggagalkan perancangan kita.

ومكروا ومكر الله والله خير الماكرين

Ramai mengangguk tanda setuju. Angguk tanda faham. Tapi, adakah angguk tanda kita beriman?
Belum tentu.
Ya, benar.. kita semua memahami maksud ayat itu, kerana kita semua adalah orang-orang yang mempelajari bahasa itu.
Tapi, sejauh mana pemahaman itu membawa diri kita agar beriman dan beramal dengan peringatan Allah yang seringkas itu?

“Bukan mudah untuk menjadi orang yang redha”

Ayuh, sama-sama kita hitung nilai hubungan kita dengan Sang Khaliq.

Semakin lama, semakin laju jari-jemari ini menaip. Hati semakin rancak berbicara. Untuk semua, khususnya diri sendiri. Saya bukanlah insan yang terbaik, tapi saya cuba untuk menjadi yang paling baik. Setiap hari, saya berharap agar saya berada dalam kalangan manusia yang lebih baik daripada saya.

Sekali lagi, mari kita renungkan.
Moga selepas ini kita semakin matang, moga selepas ini kita semakin tenang.
Ingat, hanya jiwa yang tenang yang dijanjikan syurga.
Ini bukan janji saya, bukan juga janji manusia. Tapi, inilah janji Allah pasti yang disebut di dalam al-quran.

Selamat beroleh redha Allah. Selamat menuju syurgaNya.

salam juang,
ibnatubukhari

p/s: sama-sama kita berusaha sebaik mungkin, agar kita tak termasuk dalam golongan orang-orang yang tercicir dan tersungkur di pintu syurga.





muhasabah hari ini

21 01 2010

ting tong!
ting tong!

Assalamualaikum, semua.

Hari ni, macam-macam perkara berlaku.
Yang baik ada, yang tak baik pun ada.
Yang menceriakan ada, yang menyedihkan pun ada.
Yang menjadi motivasi ada, yang menjadi penghalang pun ada.

‘Ala kulli hal,
Semunya bergantung kepada diri sendiri yang melihat.
Bukan sekadar melihat, tapi mentafsir dan berfikir.

Ada apa pada hari ini?

Hari ini,
Semua pelajar undergraduate UIAM membuang undi.

Hari ini,
Ada yang dah selamat menghadapi soalan-soalan mid-term exam.

Hari ini,
Ramai yang dah balik rumah masing-masing !!!

Hari ini,
Ada yang telah rancak bermesyuarat menyusun program.

Hari ini,
macam-macam perkara telah berlaku :)

Ahhhh..
Bukan ini dan itu yang penting!

NIsa’,
Apa yang telah engkau buat untuk Allah sepanjang hari ini?

[tiba-tiba terfikir, duduk termangu.. saham amal soleh bertambah ke? atau jatuh merudum? Astaghfirullah.]

al-faqirah ila Allah,
ibnatubukhari





tanya sama diri

19 01 2010

Assalamualaikum.

Buat diriku dan sahabat sekalian, semoga kalimat peringatan ini menjadi asbab untuk kita bertemu di syurga..

Apakah itu H.I.D.U.P ?

Hidup=life=usia=kasih sayang=kemewahan=kejayaan=pelajaran=persahabatan?

Ada yang berpendapat dan mengungkapkan, H.I.D.U.P ini:

“hidup tak lama, kita enjoy dulu!”
“live life to the fullest”
“muda hanya sekali”

[banyak lagi lah..]

Walau apa pun definisi hidup, yang menjadi intinya ialah bagaimana kita memahami dan menilai erti hidup. Namun demikian, janganlah pula ungkapan-ungkapan ini menjadi dalil bagi menghalalkan segala tindakan kita. Marilah kita melangkah sejenak ke alam muhasabah.

“Dan (ingatlah), ketika Tuhanmu mengeluarkan keturunan anak-anak Adam dari sulbi mereka dan Allah mengambil kesaksian terhadap jiwa mereka (seraya berfirman): “Bukankah Aku ini Tuhanmu?” Mereka menjawab: “Betul (Engkau Tuhan kami), kami menjadi saksi.” (Kami lakukan yang demikian itu) agar di hari kiamat kamu tidak mengatakan: “Sesungguhnya kami (bani Adam) adalah orang-orang yang lengah terhadap ini (keesaan Tuhan)” (7:172)

Kita mungkin lupa dengan ikrar ini, tetapi inilah peringatannya. Perjanjian mengakui Allah sebagai Pencipta dan pengakuan yang meletakkan kita sebagai hambaNya. Allah meletakkan kita di dunia yang menjadi medan ujian untuk menguji siapa di antara kita yang paling baik amalnya.

Dunia ini ibarat fatamorgana di tanah yang datar, yang disangka air oleh orang yang dahaga, tetapi apabila didatangi tiada apa pun. Allah memperihalkan tentang dunia di dalam al-quran:

“Sesungguhnya kehidupan dunia hanyalah permainan dan senda gurau. Dan jika kamu beriman dan bertakwa, Allah akan memberikan pahala kepadamu dan Dia tidak akan meminta hartahartamu.” (47:36)

Dan dalam hadis Nabi saw (Riwayat At-Tirmizi) baginda mengibaratkan dunia seperti bangkai kambing biri-biri malahan lebih hina lagi, diberi percuma pun belum tentu ada yang mahu menerima. Setiap antara kita mempunyai tanggungjawab besar terhadap masa dan kehidupan yang kelak nanti akan dipersoalkan.

Mari kita mulakan ‘tanya sama diri’, untuk menghisab kecil-kecilan amalan kita selama ini, mudahan-mudahan mampu mencontohi Umar ra yang memukul dirinya sambil berkata, “wahai diri apa yang telah engkau perbuat hari ini?”

Allah memberi manusia kenikmatan yang tidak terhitung banyak, namun kita masih leka menunaikan hak-hakNya. Allah tempat kita meminta dan Allah juga tempat kita berbuat maksiat. Tidak malukah kita? Sedang kepada manusia kita sedaya upaya menyembunyikan keaiban, kepada Allah kita aman-aman sahaja berbuat dosa.

Sungguh, masih banyak lagi nikmat Allah yang kita dustakan. Saban hari kita hidup dan menghidup udara Allah, tapi saban hari juga kita lupa mensyukuri anugerah-anugerah Allah. Adakalanya kita asyik belajar mengejar exam sehingga lupa melihat sahabat di ‘tanah seberang’, memendekkan waktu solat dan melalaikan ibadah yang lain. Itulah antara hambatan hambatan dunia yang menyempitkan dada dan mengalih fokus kita. Nauzubillah..

Kita terbang mengejar dunia dan segala isinya, lantas kadangkala lupa berpijak di bumi yang nyata sehingga terleka berbuat bebas apa sahaja seperti kita tidak akan kembali kepadanya. Orang menyebut dunia itu ladang akhirat, di sini bercucuk di sana kita menuai. Sesungguhnya kewajiban yang terpikul lebih besar dari masa yang kita miliki. Sebagai khalifah di bawah penguasan Allah pastinya setiap yang menjadi modal kita di dunia baik masa, harta, ilmu atau pun pancaindera pasti akan diperhitungkan.

Ikhwah wa akhawat fillah,
di mana dan siapa kita di hadapan Allah?
apa yang akan kita jawab di hadapan Allah apabila ditanya,
“wahai fulan, wahai fulanah, apa yang telah kau lakukan selama hidupmu di dunia?”
Ayuh, mari kita renungkan!

al-faqirah ila Allah,
ibnatubukhari





kembali tenang, malah lebih tenang

17 01 2010

Lena malam itu terhenti. Hati sangat bersemangat untuk bangun bertahajjud.

“Segala puji bagi Allah yang telah menghidupkan kami setelah mematikan kami dan kepadaNya kami dikembalikan.” Doa ringkas itu meluncur keluar dari mulut ini.

Telefon bimbit di kepala katil dicapai. Angka 05.00am tertera di sudut kanan sebelah atas skrin papar.

1 message received.

“Ini mesti mesej yang dihantar tengah malam tadi,” getus hati kecil. Ibu jari kanan menekan butang Unlock diikuti butang * . Butang Show kemudiannya ditekan.

“Ukhwah itu ibarat satu janji di sisi Allah. Tak dapat ditulis atau dilukis gambarnya. Bahkan tak dapat dibaca gerakan dalam hati dan jiwanya. Ia bukanlah pada lafaz dan kata-kata. Bukan jua pada banyaknya pertemuan yang dibina. Tapi, ia adalah satu seni rasa yang tak akan pernah terpisah oleh jarak dan tak akan pernah hilang oleh masa..”

Mesej yang masuk itu diterima daripada seorang sahabat, pada jam 01:16:58am. Alhamdulillah, terima kasih ya Allah, Tuhan yang mengurniakan sahabat dan peringatan itu.

Langkah disusun menuju tempat wudhu’. Air dingin keluar mencurah dari pili. Subhanallah, Tuhan yang menciptakan air dan kedinginan. Suasana pengakhiran malam itu sangat sunyi. Tenang. Barangkali penghuni blok ini sedang nyenyak tidur. Atau mungkin mereka terlebih dahulu ruku’ dan sujud daripadaku.

Ya Allah, berilah aku kekuatan!
Allahu Akbar. Tahajjud malam itu bermula. Satu persatu kalimat suci dilafazkan. Hati dan aqal bersatu memahami dan menghayati setiap lafaz dengan penuh tenang. Pergerakan berpindah satu demi satu. Malam itu.. hambaMu ini hanyut dalam tasbih tahajjudnya. Hati kembali tenang, malah lebih tenang.

al-faqirah ila Allah,
ibnatubukhari